Ahad, 15 Januari 2012

Selamat Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang ke-84



ANTARA ACARA YANG AKAN DIADAKAN

Sebanyak 21 acara akan diadakan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari
Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah ke- 84.

Acara dimulakan pada petang Sabtu, 14 Januari 2012 dengan Majlis Bacaan Yasin dan doa
serta jamuan kesyukuran bertempat di Masjid Zahir yang dihadiri oleh empat Ahli Jemaah
Pemangku Sultan Kedah diketuai oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang
Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri Utama Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Acara kemuncak sambutan ini adalah pada hari Ahad, 15 Januari 2012 iaitu Istiadat
Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran di
Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

YTM Dato’ Seri Utama Tunku Annuar yang mewakili KDYMM Tuanku Sultan Kedah berkenan
berangkat menganugerahkan Darjah-darjah dan Bintang-bintang kebesaran.

Sebelum majlis penganugerahan, Istiadat Perbarisan Kehormat akan diadakan di Dataran Balai
Besar.

Pada sebelah petang, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berangkat ke Majlis Jamuan Teh
di Istana Anak Bukit.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan Korporat), Mohamad Rizal
Mohamad Razi, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Negeri yang akan diadakan pada
Isnin, 16 Januari 2012 di Dewan Santapan Istana Anak Bukit.
 
Acara-acara lain yang akan diadakan adalah lawatan ke hospital, Majlis Perasmian Masjid,
Majlis Jamuan Rakyat, Majlis Jamuan Persatuan Jaksa Pendamai, Temasya Sukan Sungai,
Majlis Jamuan Jemaah Dato’-Dato’ dan Pertandingan Golf Keputeraan.

1 ulasan: