Jumaat, 13 Januari 2012

'Polis bukan dalang letupan bom'

PDRM tawar sagu hati RM10,000 jejak pihak tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam tiga insiden letupan di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, sejurus keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan, Isnin lalu.

Beliau turut menganggap tuduhan itu sebagai berniat jahat, selain cubaan pihak tertentu menjejaskan imej pasukan dan kerajaan, lebih-lebih lagi dalam mendukung penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2011.
“Sebagai Ketua Polis Negara, saya amat kesal, kecewa dan marah dengan tuduhan sebegini... walau sebaik mana pun pegawai dan anggota saya melaksanakan tugas, orang masih kata kita (polis) jahat.

“Justeru, kita menawarkan sagu hati RM10,000 kepada mana-mana individu atau pihak yang boleh menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya dalang utama kejadian itu,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara PDRM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi pelaksanaan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) di Bukit Aman, semalam.


Ismail berkata, walaupun bahan letupan digunakan tempoh hari dari jenis Improvise Explosive Device (IED) yang hanya mampu menghasilkan kesan letupan berskala kecil, pihaknya memandang serius aliran itu kerana boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, sekali gus mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata tiga bom buatan sendiri jenis IED yang meletup itu dipercayai didalangi mereka yang berpengetahuan dalam bidang pembuatan bahan letupan itu.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati motif utama bahan letupan itu diletupkan bukan untuk membunuh atau mendatangkan kecederaan parah, sebaliknya hanya bertujuan menimbulkan keadaan huru hara.


“Siasatan terperinci dan menyeluruh sedang dilakukan pihak polis. Oleh itu, saya minta media dan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Nafkah dan Persekolahan dari Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAAPN).


Mohmad turut menjelaskan komponen bahan letupan yang digunakan suspek berdasarkan bahan bukti yang ditemui, termasuk jam penggera, paip polikarbonat (PVC), penutup paip, bateri dan wayar merah dan hitam.


“Bahagian depan jam penggera terdapat tiga warna iaitu merah, biru dan kuning, manakala bahagian belakang berwarna merah. Paip PVC yang digunakan berukuran 50 milimeter dan penutup paip yang tertera nombor siri 454.


“Bateri berbentuk segi empat yang digunakan dari jenama GP, Kinglon dan Eveready.


“Justeru, saya minta mana-mana peniaga yang menjual barangan berkenaan melebihi tiga kuantiti diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya sambil berjanji akan menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Tiada ulasan: