Memang tiada apa daya dan kekuatan tanpa izin Allah. Biar kita tahu beribu ilmu, jika dikunci oleh yang menciptakan ilmu, lalu pastinya ilmu itu kekal dalam pengetahuan kita sahaja. Dan apabila dikunci oleh yang menciptakan ilmu itu, lalu ilmu tersebut tiada lagi bermanfaat kepada kita yang memiliki ilmu tersebut. Oleh itu, kita seharusnya sedar walaupun kita sudah memiliki ilmu yang banyak, jangan kita angkuh dan jangan kita bongkak. Pintalah kemampuan dari Allah untuk melaksanakan segala suruhannya. Pohonlah kekuatan dari Allah untuk menjadi daya bagi kita mempersembahkan ibadah kepada-Nya.
Jika Allah telah mengizinkan kita untuk menyedari ilmu yang telah kita miliki, pastinya keberuntungan sedang berpihak ke arah kita. Kekadang kita tahu bahawa mengumpat itu berdosa, tetapi kerana leka dan tidak sedar, kita tetap melakukannya.
Para cendekiawan telah mengibaratkan ilmu sebagai sebatang pokok yang tidak berbuah jika tidak diamalkan. Benarlah. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang bagaikan tidak memberikan manfaat kepadanya bagaikan sebatang pokok durian yang tidak dapat memberikan buah durian kepada pemiliknya. Adakah patut sahaja pokok durian yang tidak berbuah itu ditebangkan sahaja, dan digantikan dengan pokok getah? Akan tetapi, hakikatnya, jika ditebang pokok yang tidak berguna itu dan ditanamkan pokok getah. Lalu pokok getah itu besar dan tidak pula ditoreh. Lalu tidaklah juga memberi manfaat kepada pemiliknya. Bukankah begitu?
Seharusnya, pokok yang telah tumbuh itu tidak sepatutnya ditebang kerana pokok itu masih boleh dibajai, diubati dan disuburi. Akan tetati, jika mahu ditanam semula dengan yang sama jenis dengannya, itu mungkin boleh. Begitulah juga dengan ilmu. Seharusnya, ilmu yang dimiliki oleh seseorang seharusnya sentiasa dibajai, diubati dan disuburi dengan sentiasa mengingati dan membesarkna tuhan. Barulah mudah untuk menjamin sesebuah ilmu itu mengeluarkan “buah”.
Ayuh, kembalikan hak ilmu yang berada di dalam diri kita. Apa yang kita ketahui terus kita laksanakan. Semoga ilmu yang kita ada, benar-benar ada dan adanya ilmu itu memberi manfaat yang banyak pada kita. Apalah guna ilmu jika kita masih miskin dalam bertindak. Analogi yang mudah. Kita punyai duit yang banyak, tetapi tidak digunakan untuk membelikan makanan. Lalu, terus kita mati dalam keadaan kebuluran. Bagitulah juga dengan ilmu. Kita punyai ilmu yang banyak, namun kerana terikut-ikut dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan, kita mengabaikan ilmu begitu sahaja. Lantas, mati kita dalam tidak beramal dan mempunyai bekal yang tidak mencukupi untuk menghadapi hari akhirat.
Sedarlah, ilmu itu untuk diamalkan. Tanpa amalan, apakah bakti dan budi ilmu pada pemiliknya. Percayalah, ilmu hanya bermanfaat apabila diamalkan. Oleh itu, berusahalah tingkatkan ilmu yang bermanfaat. Dan jangan pula leka untuk tingkatkan amalan pada ilmu yang telah kita ada agar wujudnya ilmu dalam diri kita sebagai sebuah nikmat yang bermanfaat lagi menyelamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan